JDT mendominasi kategori Pemain Tengah Terbaik calon Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual

KUALA LUMPUR: Safawi Rasid ‘berdepan’ tiga rakan sepasukan di Johor Darul Ta’zim (JDT) – Gonzalo Cabrera, Afiq Fazail dan Leandro Velazquez – selepas mereka tersenarai kategori Pemain Tengah Terbaik bagi Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual.

Berdasarkan senarai calon yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini, perancang tengah Selangor, Brendan Gan, Leandro Dos Santos (Perak), Lee Tuck (TFC) dan Nor Azam Azih (Pahang) juga menjadi pesaing bagi merebut anugerah kategori itu.

Kategori Penyerang Terbaik juga tidak kurang hebatnya apabila menemukan peledak berbisa Selangor yang juga penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun dengan penjaring terbanyak Liga Perdana, Casagrande (Pulau Pinang) dan penjaring terbanyak tempatan Liga Super, Shahrel Fikri Fauzi (Perak).

Satu lagi kategori yang dijangka menarik tumpuan adalah bagi kategori Pertahanan Terbaik yang menyaksikan persaingan beberapa ‘kereta kebal’ dalam Liga Malaysia (Liga M) membabitkan Aidil Zafuan Abd Radzak (JDT), La’Vere Corbin-Ong (JDT), Shahrul Saad (Perak) dan Shakir Hamzah (Kedah).

Sumber : BH