JDT ‘juara’

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja menguasai permainan dia atas padang, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menjadi ‘juara’ dalam senarai pengikut di laman media sosial berbanding pasukan lain dalam Liga Malaysia (Liga M).

Berdasarkan data yang dikeluarkan kelab berkenaan, JDT yang juga juara Liga Super enam kali berturut-turut sejak 2014 mengumpul 3.6 juta jumlah pengikut di tiga laman sosial utama.

Kelab itu mendedahkan, JDT mempunyai hampir 2.5 juta pengikut di laman Facebook, 900,000 pengikut di Instagram dan 217,000 pengikut di laman Twitter.

“Pasukan Liga Super Malaysia yang lain seperti Kedah mempunyai pengikut seramai 902,000 pengikut diikuti Selangor dengan 505,000 pengikut dan Perak dengan 180,000 pengikut laman sosial,” kata kelab itu semalam.

“Jumlah ini sekali gus jauh meninggalkan pengikut laman sosial pasukan lain bukan hanya di Malaysia tetapi juga antara yang tertinggi di peringkat ASEAN.

“Di Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk melebihi 270 juta, Persib Bandung muncul pasukan paling popular di media sosial dengan 14.9 juta pengikut diikuti Persija Jakarta dengan 6.6 juta pengikut.

“Di Thailand, Muangthong United mempunyai pengikut terbanyak dengan 2.6 juta manakala Buriram United dengan 2.1 juta pengikut. Kelab Filipina, Ceres Negros mempunyai 65,000 pengikut manakala kelab Singapura Home United dengan 26,000 pengikut.”

JDT tidak menolak kemungkinan kejayaan mereka di peringkat Asia banyak menaikkan populariti Harimau Selatan dan dengan memiliki laman sosial dwibahasa, ia memudahkan peminat tempatan dan asing memahami kandungan yang disampaikan kelab.