JDT Bantu Pasukan Malaysia Buat Persiapan Terbaik

Jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Tan Cheng Hoe menganggap siri jelajah pra-musim JDT di Dubai secara tidak langsung membantu pemain-pemain negara lebih bersedia apabila bertemu UAE dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 26 Mac nanti.

Katanya, ia satu pendedahan yang berguna terutamanya kepada pemain JDT seperti Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Aidil Zafuan, La’vere Corbin Ong dan Farizal Marlias yang dijangka mewakili negara.

“Negara-negara Arab biasanya memperagakan corak permainan laju dan agresif. Malah, cuaca panas juga memberi kelebihan kepada mereka apabila bermain di sana nanti,” katanya kepada Arena Metro.

“Jadi saya melihat persiapan JDT secara kebetulan dapat memberi persediaan terbaik kepada pasukan apabila menentang UAE.

“Kita pun bukan ada banyak masa apabila panggilan skuad kebangsaan nanti, jadi latihan JDT sedikit sebanyak beri kebaikan dan saya harap pemain dapat menyumbang sesuatu apabila latihan skuad negara bermula nanti.”