JDT Antara 6 Pasukan Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Bahang saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal disambung minggu depan dihangatkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) apabila menyenaraikan enam pasukan yang dilabel paling popular di negara ini.

Enam pasukan terbabit bakal ‘berentap’ bagi merebut gelaran terbabit menerusi undian yang dikelolakan oleh badan induk bola sepak Asia itu yang dibuka bermula semalam.

Enam pasukan terbabit adalah juara Liga Super enam kali, Johor Darul Ta’zim; juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor; pemenang ‘double treble’ Kedah; pemenang ‘double’ Pahang; juara Piala FA dua kali, Perak dan Kelantan.

Menurut kenyataan AFC, mereka memilih enam pasukan terbabit berdasarkan kejayaan yang diraih mereka sebelum ini sekali gus layak bergelar pasukan gergasi dalam kancah bola sepak Malaysia.

Setakat jam 2 petang hari ini, skuad Harimau Selatan unggul mendahului undian dengan 40 peratus undian diikuti Selangor dengan 25 peratus dan Kedah dengan 17 peratus.

Perak pula memperoleh 10 peratus sementara Kelantan dengan enam peratus dan Pahang beroleh tiga peratus undian membabitkan jumlah keseluruhan undian sebanyak 23,274 undian.

Penyokong setiap pasukan boleh membantu pasukan mereka menjulang anugerah terbabit dengan mengundi di pautan https://www.the-afc.com/news/afcsection/the-most-popular-football-clubs-… dan undian akan berakhir pada 26 Ogos ini.