Tidak Hadir Dengan Mudah

JDT akhirnya raih tiga mata penuh dalam saingan AFC Champions League 2020 selepas menewaskan kelab dari Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings dengan jaringan 2-1 di Sultan Ibrahim sebentar tadi.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak hadir dengan mudah selepas mereka dipaksa bekerja keras sepanjang 90 minit dan lawan kerap memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan.

Skuad kendalian Benjamin Mora itu terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke 11 hasil sepakan penalti daripada Gonzalo Cabrera selepas Diogo Luis Santo menerima terj@han keras daripada pemain pertahanan Suwon.

Namun begitu, jaringan itu tidak mematahkan semangat pemain Suwon untuk terus mengasak ke kubu tuan rumah dan mereka hampir mendapat gol penyamaan melalui rembatan Adam Tuggart tetapi tersasar. Keputusan 1-0 kekal hingga separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Suwon kali ini memasukkan pemain skuad kebangsaan Australia, Terry Antonis untuk mengerakkan jentera tengah dan peluang keemasan hadir pada minit ke 46 tetapi tandukan Tuggart tepat ke dakapan Farizal.

Usaha Suwon melancarkan ser@ngan bertubi-tubi akhirnya membuahkan hasil apabila Antonis menjaringkan gol penyamaan melalui rembatan cantik dari luar kotak penalti yang hanya mampu dilihat oleh Farizal Marlias.

Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT cuba bangkit memperkemaskan corak permainan dan mereka memperolehi deretan peluang keemasan namun gagal disudahkan oleh Diogo dan Safawi Rashid.

20 minit kemudian, Stadium Sultan Ibrahim kembali bergegar dengan sorakan penyokong selepas Mauricio Dos Santos menanduk masuk jaringan kedua selepas menerima hantaran cantik daripada Nazmi Faiz.

Keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk menyaksikan JDT kini menghuni tangga kedua di belakang Vissel Kobe dalam saingan kumpulan G.