janji julang Kedah

ALOR SETAR : Pemain pertahanan, Zulkhairi Zulkeply mengakui cabaran besar bakal ditempuhinya apabila bersama skuad Kedah yang akan bersaing di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2020. 

Bekas pemain pertahanan skuad UiTM FC dan Pulau Pinang berusia 24 tahun ini juga mahu menjadikan inspirasi dan kesungguhan sebagai bekalan mencipta kejayaan.

“Saya akui cabaran sengit untuk dipilih ke dalam kesebelasan utama skuad Kedah pada musim 2020 memandangkan barisan dalam senarai pasukan adalah pemain hebat.” 

“Saya perlu terus gigih berusaha membuktikan keupayaan yang disasarkan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak.”

Bekas kapten UiTM FC berkata, semangat beliau melonjak melihat kejayaan beberapa rakan yang telah menempa nama dalam Liga Malaysia. 

“Kita tahu Kedah memiliki pemain senior yang berpengalaman seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi, Rizal Ghazali, Ifwat Akmal dan lain lain yang saya bakal rujuk untuk bimbingan dan nasihat berguna.” 

Bekas pemain skuad Piala Presiden Kedah dan pernah beraksi bersama skuad bawah 22 tahun (B-22) negara kendalian jurulatih Frank Bernhardt pada tahun 2016 ini turut mensasarkan satu trofi musim depan.