“Janji hanya tinggal janji ”

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) yang akan beraksi di Liga Super 2020 nampaknya masih berdiam diri berhubung tunggakan gaji musim 2019 yang mencecah lebih empat bulan.

Dengan saingan musim baru akan membuka tirai pada 28 Februari, menjadi persoalan besar ketika ini apa usaha yang telah PDRM FA ambil untuk menyelesaikan tunggakan tersebut yang mana akan menjadi halangan terbesar untuk beroleh kelulusan untuk bermain di Liga Super.

“Saya sangat berharap isu ini tidak dipandang sebelah mata oleh FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mahupun Malaysia Football League (MFL). Sebuah pasukan yang berjaya layak ke liga tertinggi di Malaysia tetapi apabila ditanya tentang gaji kami yang belum dibayar, tiada jawapan.

“Janji hanya tinggal janji dan jika diberi muka, isu ini tidak akan ada kesudahan. Amatlah mengejutkan sekiranya pasukan yang tak bayar gaji lebih 4 bulan boleh lulus pelesenan, tolonglah MFL kenakan tindakan tegas terhadap pasukan-pasukan yang culas ini, dah masuk 2020, memalukan nama Liga Malaysia sahaja,” ujar seorang pemain yang masih menunggu pembayaran dibuat kepada Foxsports.

PDRM antara pasukan yang berbelanja besar terutamanya di jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2019 dengan membawa masuk beberapa pemain tempatan dan juga import, dan langkah itu berjaya merubah nasib mereka daripada sebuah pasukan yang bergelut di zon penyingkiran tetapi pada akhirnya berjaya melayakkan diri ke Liga Super dengan menduduki tangga ketiga.

sumber: foxsports

Isu mengenai tunggakan gaji pasukan PDRM FA pada hakikatnya bukan suatu yang baru, malah Foxsports sendiri pernah melaporkan pada beberapa bulan lalu mengenai keluhan ejen kepada seorang pemain yang mendedahkan pasukan itu turut belum melunaskan tunggakan gaji lampau yang kononnya telah diselesaikan.

Kedudukan kewangan yang tidak begitu kukuh juga difahamkan antara punca PDRM FA yang akan dibimbing oleh Ishak Kunju Mohd bagi musim 2020 bakal mempertaruhkan sebahagian besar skuad mereka kali ini dari kalangan pegawai dan anggota polis.