‘Jangan Tuding Jari’

Tidak wajar salahkan Lee Tuck seorang, semua pemain perlu bertanggungjawab atas kekalahan.

Itu reaksi ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain terhadap kritikan segelintir penyokong yang menuding jari ke arah ketua pasukan, Lee Tuck susulan kekalahan 1-3 kepada Perak dalam aksi sulung CIMB Liga Super pada minggu lalu.

Menurutnya, meskipun Lee Tuck tidak berada pada prestasi yang baik pada malam itu, menyalahkannya tidak akan membantu pasukan untuk bangkit.

“Tidak wajar salahkan Lee Tuck semata-mata. Selepas Perak skor penalti, semua pemain tidak bermain baik, lupa apa yang perlu dilakukan sedangkan pada 20 atau 30 minit pertama kita telah mengawal permainan dengan baik. Lagipun kita bermain di gelanggang baru, penyokong pula sangat mahukan kemenangan, jadi tekanan itu terlalu tinggi.

“Janganlah sebab satu perlawanan kita adili Lee Tuck sebagai tidak bagus, bolasepak sukan berpasukan menang bersama kalah bersama. Ketika menang tiada siapa bersuara, bila kalah ada yang dijadikan ‘kambing hitam’. Tidak adil semua menuding jari kepada seorang pemain sedangkan selama ini dia telah bermain dengan baik, dia pemain bagus dengan komitmen tinggi ketika latihan,” kata Nafuzi.

Sementara itu, Nafuzi menjelaskan keluhan seorang lagi pemain import Sanjar Shaakhmedov di media sosial yang berkata pasukan itu sepatutnya bermain bolasepak cara mudah, hanyalah salah faham.

“Sebenarnya itu bukan Sanjar yang tulis, dia tiada facebook mahupun instagram, dia seorang yang fokus sepenuhnya kepada bolasepak. Keluhan itu ditulis oleh abangnya Sarvar, mungkin mereka ada bercakap mengenainya selepas perlawanan. Sanjar tahu bagaimana cara kita bermain dan saya tahu dia gembira menjadi sebahagian daripadanya,” kata Nafuzi kepada The Star Online.

Aksi seterusnya, Terengganu FC akan menentang Kedah di Stadium Darul Aman pada Sabtu, dengan kedua-dua pasukan memburu mata sulung dalam kempen Liga Super kali ini.