Jangan Terkejut

JANGAN terkejut apabila lebih ramai pemain muda berbakat besar muncul dalam tempoh dua tahun akan datang seterusnya bakal memperkuatkan lagi barisan muda skuad kebangsaan pada masa depan.

Itu antara hasil pemantauan bekas pemain kebangsaan, Wan Rohaimi Wan Ismail selepas menyaksikan sekurang-kurangnya 10 pemain muda seperti pelatih FC Malaga City (FCMC) Allee Putra Azril dikesan ketika melakukan sesi pemilihan di peringkat akar umbi di beberapa negeri sebelum ini.

Wan Rohaimi yang tidak mahu mendedahkan identiti mereka berkata, pemain terbabit boleh dikatakan terlepas pandang oleh pencari bakat akademi bola sepak di negara ini, sekali gus menyaksikan individu berkenaan tidak mendapat pendedahan sewajarnya dan hanya beraksi di peringkat ‘kampung’ saja.

Beliau berkata, pihak berkaitan seharusnya memandang serius perkara terbabit yang dilihat satu kerugian besar buat pasukan negara yang kini lebih ‘sibuk’ mencari pelapis di luar negara saja.

“Saya beri contoh Allee apabila bakatnya dikesan ketika berusia 14 tahun dan ketika itu dia hadir ke sesi pemilihan untuk skuad belia bawah 19 tahun Perlis beberapa tahun.

“Jika tiada halangan tertentu, sudah tentu saya ambil dia membarisi skuad terbabit walaupun baru berusia 14 tahun namun terpaksa melupakannya dan melihat satu masa nanti Allee bakal menjadi bintang dalam bola sepak tempat menerusi bakat dimiliki.

“Hasil daripada tinjauan menerusi sesi pemilihan juga ada beberapa pemain muda berbakat tidak mendapat tempat sewajarnya malah menimbulkan persoalan bagaimana sesi pemilihan dilakukan untuk memasuki akademi bola sepak di negara ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Bekas pemain Kelantan itu antara individu yang bertanggungjawab membentuk dan membimbing Allee sejak beberapa tahun lalu sebelum pemain muda itu mendapat tawaran menjadi pelatih di FCMC.

Selain itu, Wan Rohaimi yang kini ketua jurulatih pasukan Piala Presiden Pulau Pinang mengingatkan pihak berkaitan supaya lebih peka seterusnya mengubah sistem pemilihan pemain akar umbi demi membina pasukan kebangsaan lebih mantap pada masa akan datang.

sumber: HM

“Ada antara pemain lambat menonjol atau mungkin pada usia 12 atau 13 tahun kurang menyerlah namun apabila sudah tiba tempoh matang iaitu 15 tahun ke atas sudah pasti mereka ini ‘mel3tup’.

“Oleh itu, jangan terlampau bergantung atas kertas dalam mencari bakat muda kerana lebih baik adalah turun padang di peringkat akar umbi untuk melihat sendiri ‘ubi muda’ beraksi dan sudah pasti akan melihat sesuatu mengejutkan yang ada pada mereka,” katanya.