Jangan Terkejut Lepas Ini Lebih Banyak ‘ubi muda’ Disambar

JANGAN terkejut lepas ini lebih banyak ‘ubi muda’ disambar akademi luar negara. Itu peringatan yang diberikan legenda bola sepak negara Khalid Ali apabila melihat terdapat beberapa pemain muda negara terlepas pandang oleh pasukan pencari bakat hingga mereka terpaksa berkelana ke akademi luar negara.

Beliau berkata, situasi kini telah berubah apabila pasukan pencari bakat di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan beberapa akademi di negara ini perlu lebih rajin turun padang dengan melihat perkembangan pemain muda di peringkat kampung atau daerah.

Khalid berkata, pihak berkaitan tidak boleh lagi mengharapkan persatuan negeri atau percaya terus ‘cakap orang’ hingga bakat muda yang berkebolehan disisihkan sekali gus kerugian buat skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Perkara ini sudah lama saya katakan pada pihak berkenaan supaya turun padang melihat bakat pemain muda dan bukan mengharapkan pihak lain seperti persatuan bola sepak negeri untuk menghantar pemain.

“Saya percaya lepas ini lebih banyak pemain muda berbakat akan ‘timbul’ namun bukannya daripada pasukan pemantau persatuan bola sepak negara tapi pihak luar yang melihat ubi muda kita boleh pergi lebih jauh.

“Oleh itu perbaiki kelemahan yang ada dan sudah tiba masa pasukan pencari bakat terdiri daripada individu yang lebih ‘rajin’ untuk melihat sendiri pemain muda kita beraksi,” katanya.

Arena Metro semalam melaporkan Allee Putra Azril, 15, ditawar bermain di akademi bola sepak terkemuka Sepanyol, FC Malaga City.

Remaja itu menggemparkan dunia bola sepak negara selepas ditawar kontrak menjalani latihan di akademi elit itu selama dua tahun walaupun dia bukan pemain yang dikenali di Malaysia.

Seorang lagi yang bakal dilihat memperkuat skuad Bawah 19 negara adalah Omar Raiyan Kama Azlan yang kini bersama kelab Serbia, Red Star Belgrade.

Omar, 15, yang beraksi di posisi tengah dan pernah bersama akademi Manchester City di Abu Dhabi dilaporkan berjaya memikat perhatian kelab Red Star Belgrade selepas menjalani pemilihan selama dua minggu pada Julai tahun lalu.