Jangan pandang Sabah sebelah mata bahh

Persiapan Sabah untuk beraksi dalam musim pertama mereka di Liga Super selepas lapan tahun mungkin nampak sedikit suram.

Tiada pengumuman rasmi siapa pemain masuk, keluar ataupun kekal malah sudahpun memasuki 2020, tidak banyak diketahui perkembangan terkini persiapan skuad juara Liga Premier 2019 itu, apatah lagi posting terakhir di laman facebook rasmi mereka adalah pada 20 Disember – iaitu kira-kira dua minggu lalu – ketika mengumumkan lantikan bekas bintang Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto sebagai ketua jurulatih baru.

Tetapi adakah itu bermakna cabaran mereka boleh dipandang sebelah mata?

Menurut Kurniawan, kurang publisiti adalah bagus untuk pasukannya dan melihat kepada persiapan yang setakat ini berjalan cukup lancar, dia cukup optimis Sabah boleh memberikan tentangan sengit dalam Liga Super 2020, bukannya sekadar menjadi pelengkap saingan.

“Pengurusan mahu pasukan ini meneruskan momentum yang telah dicipta musim lalu dan memberikan impak besar dalam Liga Super tahun ini, dan saya meletak kepercayaan tinggi ia boleh direalisasikan kerana pemain yang kami ada semuanya pejuang yang mempunyai semangat melawan tinggi dan tidak mengenal erti putus asa, termasuklah pemain-pemain muda.

“Saya baru mengendalikan latihan selama dua minggu tetapi saya cukup tertarik dengan apa yang pemain-pemain ini tunjukkan. Lazimnya pemain mengambil masa untuk serasi dan memahami taktikal jurulatih baru, tetapi berbeza di sini. Saya cukup teruja dengan kualiti yang mereka tunjukkan dan suasana yang saya lihat ketika ini,” kata Kurniawan kepada TheStar.

Menurut Kurniawan lagi, setakat ini Sabah telah menandatangani dua pemain iaitu Zubir Azmi dari Pahang serta penjaga gol Wan Azraei Wan Teh dari Terengganu, dan dia menjangkakan pasukan dengan jolokan Tambadau itu akan menandatangani tiga pemain import menjelang minggu depan.

sumber: foxsports

Mengenai kuota import Asia Tenggara yang mana sebelum ini dikatakan akan diisi oleh bekas pemain Pahang, Saddil Ramdani yang juga anggota skuad pemenang pingat perak Sukan SEA 2019, Kurniawan berkata, “Selepas berakhir Sukan SEA dia memberitahu tidak jadi datang ke Sabah kerana ada beberapa pasukan Eropah berminat dengan khidmatnya, dan ia juga sukar untuk mendapatkan mana-mana pemain Indonesia lain memandangkan mereka telah menandatangani kontrak jangka panjang dengan kelab masing-masing.”

Sabah akan membuka tirai Liga Super 2020 dengan menentang satu lagi pasukan pendatang baru Liga Super, PDRM di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 1 Mac 2020 sebelum melayan kunjungan Felda United di Likas, pada 7 Mac 2020.