‘Jangan Cakap Besar’

MANA boleh terus nak pegang pasukan bawah 19 (B-19) negara kalau tak pernah melatih pasukan. Jangan ingat dia bekas pemain, dia boleh jadi jurulatih yang hebat.

Itu pandangan dan contoh diberikan legenda skuad Harimau Malaya, Bakri Ibni mengulas kenyataan seorang lagi bekas pemain, Khalid Jamlus yang dilihat memperlekehkan tugasan jurulatih di peringkat pembangunan.

Kelmarin, kecoh di laman sosial apabila peminat mempertikaikan kenyataan Khalid yang juga pemenang anugerah kasut emas saingan Liga Malaysia bagi musim 2002 itu apabila mengakui dirinya layak untuk membimbing pasukan bertaraf kebangsaan dan negeri berbanding kanak-kanak.

Kenyataan itu jelas mengguris hati ramai pihak termasuk Bakri yang turut membuka akademi bola sepaknya sendiri iaitu Akademi Tunas Lagenda yang melatih ramai pemain remaja berbakat di seluruh negara.

Bakri yang pernah membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 nyata berang dengan Khalid yang disifatkannya ‘cakap besar’ dan tidak menjaga perasaan pihak lain.

“Saya nak bagi contoh, dia (Khalid) yang tak pernah latih pasukan takkan nak terus bawa pasukan B-19 negara. Dia tak pernah buktikan apa-apa dalam bidang jurulatih.

“Jangan ingat bila menang kasut emas dia juga boleh jadi jurulatih yang bagus. Tak semua bekas pemain bola jadi jurulatih dan tak bermakna yang bukan bekas pemain profesional tak boleh jadi jurulatih.

“Dulu ada Jita Singh bekas jurulatih Singapura. Beliau bukan bekas pemain tetapi boleh bawa Singapura menang Piala Malaysia (1980). Dia kena hormat semua orang lebih-lebih lagi jurulatih tak kira di peringkat mana sekali pun.

“Pergi latih dulu pasukan belia atau remaja kemudian baru naik hingga ke atas,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, tindakan Khalid menjual jersi dan medal kemenangan termasuk trofi kasut emas dimenanginya cukup mengejutkan ramai pihak.

sumber: HM

Ujar Khalid yang juga bekas peny3rang Perak, Selangor dan Kelantan itu, dia mengharungi kehidupan yang perit dengan hartanya seperti rumah dan kereta hampir ditarik kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan.

Meskipun memiliki lesen jurulatih kelas B, dia mengakui agak sukar untuk mendapatkan pasukan termasuk pernah meminta bantuan daripada pihak tertentu seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pasukan Liga Malaysia namun semuanya hampa.