‘Jangan buat tak tahu’

ALOR SETAR: Legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din berharap semua naib presiden dan ahli eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) perlu peka mengenai perkembangan semasa dan perancangan pengurusan badan induk itu.

“Kita semua perlu tahu perkara yang berlaku dalam KFA ini kerana kita tidak mahu seperti apa yang berlaku sebelum ini di mana ada juga naib presiden dan ahli eksekutif yang tidak tahu apa yang sedang berlaku berkaitan masalah kewangan, pentadbiran dan gaji.

“Jadi, saya ingat kita jangan buat sistem monopoli sebab kita ‘duduk’ dalam satu keluarga dan setiap masalah yang berlaku dalam keluarga, kita semua kena ambil tahu dan jalan yang terbaik adalah bekerja sebagai satu pasukan dan wujudkan sifat harmoni dalam pengurusan dan pasukan,” katanya.

Radhi yang dipilih menduduki jawatan naib presiden KFA, semalam pada Kongres Luar Biasa (EGM) mengakui teruja selepas dipilih menduduki jawatan berkenaan dan menganggap tugas dipikulnya sebagai satu amanah untuk meneruskan legasi kejayaan yang dicapai Kedah sebelum ini.

“Saya bersyukur kepada Allah dan cukup-cukup teruja sebab saya rasa saya sudah lama saya tinggalkan bola sepak dan bila dipilih untuk kembali bersama KFA, iaitu lebih kepada pentadbiran dan pengurusan ini adalah perkara baharu pada saya.

“Namun, saya berharap naib presiden lain dan ahli eksekutif semua dapat memberi sokongan kepada saya kerana sebelum ini saya tidak terbabit secara langsung dalam pengurusan kerana melalui pengalaman, saya di bidang kejurulatihan dan pemain.

“Apapun saya yakin dengan komitmen yang ditunjukkan KFA dan Insya-Allah dengan pelantikan presiden baharu, saya rasa beliau mampu beri komitmen yang tinggi,” katanya.

Mengenai tugas berkaitan Lang Merah, Radhi bagaimanapun belum mendapat sebarang arahan daripada presiden.

“Presiden kata akan berikan tugas khas kepada saya dan saya akan menggalas tugas yang akan diamanahkan itu sebaik mendapat arahan berkenaan,” katanya.