‘Jang Balik ke kampung Semula’

SEREMBAN: Bagai ‘sirih pulang ke gagang’.

Itu perumpamaan buat Zaquan Adha Radzak yang bakal kembali menyarung jersi negeri kelahirannya, Negeri Sembilan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut sumber, penyerang berusia 33 tahun itu yang sebelum ini beraksi bersama Kedah telah menandatangani kontrak bersama skuad Jang baru-baru ini.

Kepulangan semula adik kembar kepada pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan itu dicapai selepas rundingan dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menemui kata sepakat.

Zaquan pernah beraksi bersama Negeri Sembilan pada 2006 hingga 2011, dengan membantu pasukan itu menjulang beberapa trofi seperti Liga Super 2006, Piala Malaysia 2009, 2011 serta Piala FA 2010.

Sementara itu, menurut sumber lain, Negeri Sembilan juga menyambar dua pertahanan Nasrullah Hanif Johan dari Terengganu FC dan Annas Rahmat (Melaka United).

“Kedua-dua mereka adalah produk program pembangunan Negeri Sembilan, malah Annas juga pemain skuad Jang pada 2016 dan 2017 sebelum dia berhijrah ke PKNS dan Petaling Jaya City.

“Negeri Sembilan juga mengikat dua bekas pemain Petaling Jaya City yang juga adik-beradik R. Aroon Kumar dan R. Barathkumar selain bekas penjaga gol Felda United, Muhaimin Mohamad,” kata sumber itu lagi.

Jang baru-baru ini mengumumkan K. Devan sebagai jurulatih baharu dengan misi utama layak ke Liga Super musim 2022.

Difahamkan Devan telah menjalankan pemilihan pemain secara tertutup selama dua hari bagi memperkuatkan pasukannya.