Izhan akan diuji kelab divisyen dua Liga Sepanyol awal November ini

Kuala Lumpur: Selangor FC mengesahkan memberi lampu hijau buat penjaga golnya, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengikuti sesi percubaan bersama kelab di Eropah selepas berakhirnya tugasan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon, Sikh Izhan akan mula menyertai ujian percubaan bersama kelab La Liga Sepanyol, CF Fuenlabrada pada November ini.

Katanya, pihaknya sudah menerima surat rasmi daripada kelab Sepanyol terbabit dan masih menanti surat rasmi daripada kelab lain.

“Pergerakan Sikh Izhan akan terbang dari Mongolia ke Sepanyol pada November ini kerana kita pun tidak mahu kecergasannya terjejas apabila terpaksa pulang ke tanahair di mana perlu menjalani kuarantin dan sebagainya.

“Lebih baik dia terus pergi ke sana selepas bermain untuk skuad negara dalam Kelayakan AFC B-23 di Mongolia nanti. Maksudnya, di pihak Selangor FC kita tidak ada masalah tetapi dia kena habiskan dulu baki saingan Liga-M dan bantu skuad negara.

“Selepas itu kita beri tempoh selama sebulan untuknya di Sepanyol nanti dan saya dimaklumkan akan ada beberapa siri percubaan dengan kelab lain juga.

“Apapun, tempoh sebulan itu kita tidak akan ganggunya dan dia boleh manfaatkan tempoh berkenaan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, aksi mantap Sikh Izhan dalam saingan Liga Malaysia bersama skuad Red Giants berjaya memikat perhatian pihak luar termasuk CF Fuenlabrada.

Kelab terbabit yang beraksi dalam divisyen dua Liga Sepanyol bersedia menguji pemain kelahiran Pulau Pinang itu apabila ditawarkan tempoh percubaan bermula awal November ini.

Sementara itu, ejen Sikh Izhan mengesahkan penjaga gol berusia 19 tahun itu turut akan menjalani percubaan di Belgium dengan kelab utama liga terbabit.

“Jadi selepas itu Sikh boleh sertai sesi ujian di mana selain kelab Sepanyol, dia juga akan ke Belgium. Jika terpilih salah satu daripada dua kelab itu, akan ada perbincangan lanjut antara kelab baru dengan Selangor nanti.

“Bagi saya, tempoh itu mencukupi buat Sikh Izhan bagi memperagakan kebolehannya sekaligus berusaha bermain di Eropah seperti mana impiannya sejak kecik,” kata ejennya yang enggan namanya didedahkan.

Sumber:HM

Untuk rekod, ketika ini terdapat hampir 10 pemain muda berkelana di Eropah termasuk p3ny3rang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang mengikat kontrak lima tahun bersama KV Kortrijk di liga satu Belgium.