itu tidak benar

Kedah mengadakan pra-musim di Kemboja sebagai persiapan untuk kelayakan AFC Champions League bertemu pasukan Hong Kong, Tai Po di Stadium Darulaman, Alor Setar pada 21 Januari ini.

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin melihat peluang berdepan dengan pasukan Liga Kemboja dapat memberikan motivasi kepada pemain untuk saingan musim baharu.

“Musim kami bermula lebih awal berbanding pasukan lain kerana komitmen Liga Juara-juara. Mungkin ada yang merasakan kualiti pasukan Hong Kong lebih rendah daripada pasukan Malaysia tetapi itu tidak benar,” kata Aidil kepada The Star.

“Liga Hong Kong masih berjalan jadi pemain mereka sudah pun serasi. Di samping itu, mereka mempunyai beberapa pemain naturalisasi. Kedah pula mempunyai enam pemain baharu termasuk import jadi kami perlu mendapatkan persiapan yang rapi. Saya percaya lawatan Kemboja adalah sesuai untuk kami.”

Aidil menjelaskan Kemboja dipilih kerana negara tersebut mempunyai persamaan dari segi kualiti dengan Hong Kong.

“Kelab Kemboja mendapat banyak input dari Jepun dan kita melihat bahawa mereka mempunyai persamaan dengan pasukan Hong Kong. Kita boleh pergi ke Thailand atau Indonesia tetapi akan membuang masa dalam kesesakan lalu lintas. Lagipun, waktu malam boleh menjadi gangguan kepada para pemain, jadi di Kemboja kami akan tinggal di pinggir bandar untuk mengelakkan gangguan.”

Kemenangan ke atas Tai Po akan membuka laluan untuk Kedah bertemu FC Seoul dari Korea Selatan pada 28 Januari. Jika menang, mereka akan mendapat tempat di peringkat kumpulan ACL.

Kedah akan mengadakan siri pra-musim bersama juara liga Kemboja iaitu Visakha FC pada 8 Januari, diikuti Boeung Ket Angkor (10 Januari), Angkor Tiger (12 Januari) dan Phnom Penh Crown (14 Januari).