Ismail selamatkan maruah TRW FC

Kota Bharu: Pemain muda, Ismail Ibrahim muncul wira Kelantan TRW FC apabila menjaringkan gol di minit akhir untuk membolehkan tuan rumah menang tipis 2-1 ke atas Skuad Projek FAM-MSN dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, petang tadi.

Ismail yang menjadi pemain gantian dimasukkan pada minit ke-56 sebelum menjaringkan gol di hujung aksi.

Terlebih dahulu, tuan rumah hampir dimalukan pelawat apabila gagal menjaringkan sebarang gol menentang pasukan kendalian bekas jurulatih TRW, Yusri Che Lah.

Lebih memberi tekanan apabila pelawat membuka jaringan menerusi Azhad Harraz Arman pada minit ke-54.

Kelantan FC terus memberi tekanan dan berjaya menyamakan kedudukan dengan tandukan import dari Greece, Christos Intzidis.

Kedua-dua pasukan terus berentap namun tuah menyebelahi tuan rumah apabila berjaya mendapatkan gol kemenangan melalui Ismail sekali gus meraih tiga mata berharga.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.