Inilah Tarikh Yang Dinantikan Oleh Peminat Bola Sepak Malaysia

PUTRAJAYA: Penantian pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang terpaksa ‘berehat’ lebih lima bulan sebelum ini berakhir selepas pertandingan itu dibenarkan untuk kembali bersambung, 15 Ogos ini.

Perkembangan itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media hariannya di sini, hari ini.

Ismail berkata, Mesyuarat Khas Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju membenarkan penganjuran kejohanan namun pertandingan yang tidak membabitkan penonton dan dilangsungkan di peringkat dalam negara sahaja.

“Justeru, sukan bersentuhan fizikal bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw dan skuasy dibenarkan bermula pada 15 Ogos ini.

“Contoh kejohanan untuk sukan berpasukan adalah Liga Super dan Liga Perdana bagi bola sepak, Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Ragbi. Ini liga yang dibenarkan untuk memulakan pertandingan mereka nanti.

“Penganjuran pertandingan hanya terhad kepada kejohanan tempatan sahaja tanpa penonton dan tidak membabitkan perhimpunan ramai. Penganjuran acara antarabangsa yang membabitkan peserta luar negara tidak dibenarkan sama sekali buat masa ini.

“Bagaimanapun, pelaksanaan aktiviti sukan dan penganjuran kejohanan perlu diadakan dalam keadaan terkawal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.