Inilah Punca Pemain Ini Bersara Dan Kini Jadi Pemandu Lori

Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi sepatutnya menyertai Kelantan United pada awal musim ini, tetapi disebabkan kec3wa dengan masalah gaji yang masih belum dibayar oleh bekas pasukannya Terengganu City FC, dia membuat keputusan untuk bersara.

Penyerang berusia 32 tahun kelahiran Kuala Terengganu itu merupakan pemain terbaik perlawanan akhir Piala FAM 2018 ketika mewakili Terengganu City, namun sangat kecewa dengan pengurusan pasukan tersebut yang masih belum membayar gajinya, malah belum mendapat bonus kemenangan seperti yang dijanjikan, walaupun sudah dua tahun berlalu.

Ramadhan kemudian meninggalkan pasukannya dan menyertai Kelantan United pada musim lepas, dan membantu pasukannya menjuarai Liga M3.

Dia ditawarkan kontrak baharu untuk bersaing di Liga Perdana musim ini, tetapi akhirnya membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut.

“Semua proses sudah selesai, tapi pada saat akhir sebelum menandatangani kontrak saya mengambil keputusan gantung but,” katanya kepada BH Sukan.

“Keputusan ini memang berat apatah lagi kerjaya bola sepak ini adalah periuk nasi saya untuk menyara keluarga, lebih-lebih lagi ketika itu isteri saya sedang mengandung anak kedua.

“Namun disebabkan kecewa dengan bekas majikan, Terengganu City yang sehingga kini belum lagi melunaskan tunggakan gaji sejak 2018 dan tidak dapat merasai nikmat sebenar sebagai juara Piala FAM kerana belum dapat bonus kemenangan, saya tiada pilihan melainkan nekad untuk bersara tahun ini.”

Ramadhan kemudiannya kembali ke negeri kelahirannya Terengganu dan kini bekerja sendiri sebagai pemandu lori yang menghantar buah kelapa sawit di sekitar kampungnya di Setiu serta Jerteh dan Kuala Berang.

“Saya mula melakukan pekerjaan ini sejak dua minggu sebelum ketibaan Ramadan dan kerja ini berg@ntung kepada jumlah buah kelapa sawit, adakalanya lima kali seminggu angkut buah.

“Walaupun agak janggal, tapi sekurang-kurangnya saya lega kerana bekerja sendiri, lagipun lori hak milik saya.”