Inilah Gaji Dan Rumah Jika Luqman Hakim Bersetuju Menyertai KV Kortrijk

Striker muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin, 18, akan menerima gaji RM15,000 sebulan dan sebuah rumah jika bersetuju menyertai kelab divisyen satu Belgium, KV Kortrijk.

Menurut sumber yang rapat dengan kelab itu, perjanjian asal antara KV Kortrijk dengan pihak Luqman tetap sama dan tiada sebarang perubahan dengan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu ditawarkan kontrak selama lima tahun.

“Janji kami tetap sama, tak ada apa-apa yang berubah kerana kami memang mahukan Luqman bermain bersama kami. Dia akan menerima gaji RM15,000 sebulan, sebuah rumah dan kontrak lima tahun di sana.

“Jika dia menunjukkan peningkatan, pihak kelab sedia menambah baik kontrak dengan penambahan gaji dan kelebihan-kelebihan lain sebagai pemain pro di sana,” katanya kepada Arena Metro.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan sama ada Luqman boleh beraksi di Belgium atau tidak kini terletak sepenuhnya di tangan dua pihak berkepentingan iaitu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Kerajaan Pusat.

Ia susulan FAS dikatakan sudah menetapkan syarat baharu buat pemain itu sekiranya berhasrat untuk meninggalkan pasukan selain Luqman turut perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak kerajaan selepas pintu sempadan ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Sumber itu berkata, kelab itu sudah bersedia menerima kehadiran Luqman dan bakal memulakan latihan pra musim pada 16 Jun ini.

Katanya, masalah utama yang kini membelenggu penjaring terbanyak Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia B-16 pada 2018 itu ialah kekangan daripada syarat baharu FAS dan halangan perjalanan.

“Sekarang FAS sudah menetapkan syarat baharu terhadap Luqman, jadi kami sedang berusaha untuk berbincang bersama FAS selepas dia mengikat kontrak dengan Selangor sebelum ini.

“Dia juga dah ada ejen baharu yang berpangkalan di Eropah. Tapi kami tak ada masalah dengan ejennya yang sedia kerjasama untuk membantu Luqman ke Belgium. Cuma masalahnya mengenai syarat baharu FAS itu dan saya nak tegaskan kami takkan bayar apa-apa,” katanya.

“Kedua adalah masalah sekatan perjalanan. Tetapi rasanya ia akan diuruskan secepat mungkin dengan pihak kami sedang berusaha mendapatkan kebenaran MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membenarkan Luqman ke Belgium,” katanya.

Berdasarkan perancangan awal sebelum ini, Luqman sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan di Cardiff City pada Januari sebagai persediaan sebelum ke KV Kortrijk Mac lalu, namun pemergiannya tertangguh sebanyak dua kali termasuk kegagalan mendapatkan visa serta isu Covid-19.