Ini Ucapan TMJ Kepada Safawi Rasid

KUALA LUMPUR: Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan rasa bangga selepas pemainnya, Safawi Rasid mengharumkan nama pasukan itu dan juga nama negara di pentas Asia.

Led@kan menarik pemain kebangsaan itu ketika menentang Shandong Luneng tahun lalu mendapat undian tertinggi sebagai gol lencongan terbaik sepanjang Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Tahniah budak Dungun. JDT selamanya,” kata Tunku Ismail menerusi laman sosial Instagramnya, semalam.

Dalam ucapan tahniah sama, Tunku Ismail turut menyertakan poster ‘kemenangan’ Safawi selepas dinobat pemenang jaringan terbabit.

Terdahulu, Safawi mengatasi empat calon lain selepas menerima 50 peratus undian daripada 159,502 pengundi berdasarkan undian peminat di laman web Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang ditutup Sabtu lalu.

Safawi menerima cabaran sengit daripada pemain pasukan Esteghlal, Mame Thiam yang menerima 48 peratus daripada jumlah keseluruhan undian.

Lebih menarik, Safawi turut mengatasi bekas bintang Chelsea, Oscar dari Shanghai SIPG yang hanya mendapat satu peratus undian.

Jaringan sepakan lencong dari kaki kiri yang dihasilkan pemain berusia 22 tahun terbabit pada 9 April 2019 itu juga sebelum ini sudah diundi sebagai jaringan kedua terbaik saingan ACL musim lalu.