Ini Sebab Sebenar

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendedahkan bahawa peningkatan dan perkembangan bolasepak Malaysia membuatkan pemain warisan dan pemain import tertarik untuk mewakili negara.

Ini terutamanya selepas FAM terbuka untuk menerima pemain naturalisasi setelah bertahun-tahun menolak idea tersebut kerana ingin mengutamakan pemain akar umbi.

Namun, kegagalan demi kegagalan yang ditunjukkan oleh skuad kebangsaan terutamanya di peringkat kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia memaksa FAM mencari pendekatan baharu untuk menaikkan semula ranking Malaysia.

Pendekatan FAM untuk mengambil pemain warisan dan naturalisasi mengundang kritikan segelintir pihak yang menganggap bakat pemain tempatan telah dipinggirkan sama sekali.

Tetapi kehadiran beberapa pemain warisan seperti Matthew Davies, Brendan Gan, La’vere Corbin Ong dan pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh banyak membantu skuad kebangsaan meraih kemenangan sekali gus memperbaiki ranking negara.

Ia menyebabkan pemain warisan lain seperti Marcel Kalonda, Harry Edge, Kobe Chong dan Samuel Bone turut mahu mengikut jejak langkah untuk mengharumkan nama negara.

“Kita nampak satu gelombang baharu dalam bola sepak negara, pemain warisan melihat bola sepak Malaysia ini sudah ada pada tahap meyakinkan,” kata Yusoff kepada Arena Metro.

“Mereka pun membuat kajian mengenai pasukan negara, kalau menjadi pasukan belasahan saya ingat mereka pun tak mahu tawarkan diri.

“Sudah tentu prestasi meningkat pasukan kebangsaan berjaya menggamit atau menarik minat pemain ini untuk mewakili Malaysa, senang cakap tak malulah kalau mewakili Malaysia.

“Ia sebenarnya perkembangan sihat dan saya yakin kita berada pada peringkat atau jalan yang betul untuk mengubah wajah bola sepak negara.”

Liridon Krasniqi menjadi pemain naturalisasi terbaru Malaysia dan dijangka membuat penampilan pertama apabila skuad negara bertemu UAE pada 8 Oktober depan.

FAM masih menunggu maklum balas FIFA mengenai Guilherme de Paula dan juga status pengesahan pemain warisan, Marcel Kalonda.