Ini Pesanan Safiq Rahim Kepada Liridon Krasniqi

Baru-baru ini, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan pengumuman rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai pengesahan bekas pemain import Kedah, Liridon Krasniqi sebagai warganegara Malaysia.

Ia bermakna Liridon kini merupakan pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dan berpeluang dipanggil memperkuatkan pasukan Harimau Malaya dalam perlawanan di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan rekod dalam saingan Liga Malaysia, Liridon telah menjaringkan 19 gol dalam 67 penampilan ketika mewakili Kedah pada tahun 2015 hingga 2018.

Namun, bekas kapten negara, Safiq Rahim cabar pemain kelahiran Kosovo itu membuktikan kemampuan dalam saingan Liga domestik pada musim 2020 sebelum layak dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan.

“Beliau (Liridon) seorang pemain yang baik dan bagi pasukan negara adalah satu kelebihan, apabila beliau dapat dinaturalisasikan. Pasukan negara perlu menggunakan kelebihan yang ada pada Liridon terutama daya membaca permainan, kerana imp@knya sangat besar dalam setiap perlawanan.

“Liridon perlu tunjukkan kemampuan sebenar dan bagi 100 peratus ketika bermain untuk pasukan negara, kerana tiada yang lagi besar daripada negara. Kita mahu melihat beliau beraksi di tahap lebih tinggi, kerana setakat ini beliau hanya beraksi dalam saingan domestik,” katanya seperti dipetik dalam Bernama.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan bertemu Bahrain dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 21 Mac 2020 sebelum berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai 26 Mac dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac 2020.

Liridon juga berpeluang membuat penampilan pertama ketika berdepan UAE, tetapi perlu menunggu pengesahan daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) terlebih dahulu sebelum meneruskan proses pendaftaran pemain yang akan tamat pada 20 Mac ini.

sumber: vocketfc

Sementara itu, Safiq berpendapat kehadiran pemain naturalisasi ini bukanlah bertujuan untuk mengurangkan jumlah pemain tempatan dalam skuad kebangsaan tetapi memberi dorongan kepada pemain untuk berusaha keras meningkatkan kualiti masing-masing.

“Kita perlu ambil ini dari sudut positif, dan sebagai pemain tempatan kita kena ada jiwa yang besar kerana ia merupakan salah satu karakter seorang pemain bola sepak. Jangan cepat berpuas hati…kena sentiasa bersaing dan berusaha berikan yang terbaik,” jelas Safiq.