Ini Pesanan Daripada Bekas Legenda Import Bola Sepak Kedah

KLIP video pesanan ‘stay at home’ untuk memerangi wabak pandemik Covid-19 daripada bekas legenda import bola sepak Kedah menjadi antara koleksi berharga buat penyokong Kedah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Antara pengumpul koleksi ucapan berkenaan ialah Mohd Shahril Abd Wahid atau dikenali sebagai Ariel dari Alor Setar yang berusaha mengeratkan perhubungan antara penyokong dan bintang import bola sepak yang pernah satu ketika dulu mengharumkan pasukan Kedah.

“Saya kerap mengikuti perkembangan bekas pemain-pemain import Kedah dan sentiasa menjalinkan perhubungan yang baik dengan mereka walaupun sudah lama mereka tidak bersama pasukan Kedah.”

“Dengan masa yang terluang di sebalik kebosanan tanpa perlawanan bola sepak yang dihentikan akibat wabak Covid-19 ini saya gunakan ruang masa untuk bertanyakan khabar serta perkembangan semasa yang sedang mereka dilalui di negara masing-masing.

“Antara videp klip pesanan ‘stay at home’ yang saya perolehi daripada legenda double treble paling berpengaruh musim 2007, 2008 Marlon Alex James, pemain tengah Nelson Sam Martin yang kini berada di Langkawi, bekas jurulatih Kedah dari Croatia musim 2012 Marijo Tot dan juga pemain import musim 2012 kelahiran Perancis Safi Abdelfatah yang membuat ucapan dari Perancis.

Menurut Ariel lagi, beliau juga berasa sangat teruja apabila kebanyakan pemain legenda Kedah masih mengingati Kedah dan merindui suasana bersama penyokong Kedah di mana mereka turut memainkan peranan masing-masing dalam memberi nasihat berguna kepada seluruh penyokong di Malaysia pada ketika ini.

“Kami sangat menghargai pesanan yang mereka lakukan secara spontan dan ini menimbulkan suasana yang bersemangat di kalangan penyokong yang sentiasa terbayang aksi lincah mereka di padang satu ketika dulu, sepanjang tempoh PKP ini berlangsung.”

“Pesanan serba ringkas yang mereka nyatakan ini cukup untuk mengubati kerinduan kami sebagai peminat yang menantikan perkembangan semasa mereka.”

“Selain video berkenaan, saya juga sedang berusaha menghubungi beberapa pemain import lain seperti Vedran Gerg, Alan Guc dan lain lain untuk bertanyakan khabar mereka yang juga difahamkan berada di rumah bagi melawan wabak bahaya Covid-19 ini.” katanya.