Individu Berpengaruh Di Selatan Tanah Air minat beli Kelantan

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tiga pihak dikatakan berminat membeli skuad The Red Warriors (TRW) menjelang perubahan pengurusan pasukan negeri daripada status persatuan bola sepak (FA) kepada kelab (FC).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman ketika mengesahkan perkembangan itu berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan satu daripada pihak terbabit, hari ini.

Katanya, satu daripada tiga pihak berkenaan didapati berpangkalan di luar negara, namun belum menetapkan tarikh untuk perbincangan.

Kita ada perbincangan esok (hari ini) dan satu lagi pihak kita akan jumpa pada Isnin. Satu lagi dari luar negara itu kita belum dapat tarikh untuk perbincangan.

“Harga kita masih kekalkan seperti yang dinyatakan sebelum ini iaitu RM3 juta dan royalti RM1 juta setahun. Namun, semuanya itu kita akan berbincang lanjut dengan pihak berkenaan,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Sebelum ini, bapa Wan Kuzain dan Wan Kuzri, Dr Wan Kamal Wan Napi menyatakan hasrat mahu membeli TRW, namun beliau dilaporkan membatalkan hasrat itu atas beberapa faktor.

Sukan BH difahamkan, pakar pelaburan terkenal, Norizam Tukirman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham dilaporkan menjadi individu terbaharu berminat membeli pasukan Kelantan itu.

Norizam yang juga usahawan burger dan pemilik rangkaian hotel dari selatan tanah air didakwa meletakkan beberapa syarat untuk dipenuhi KAFA sebelum memulakan rundingan.

Syarat itu termasuk KAFA perlu menunjukkan akaun semasa, perancangan pasukan, struktur organisasi, pendapatan dan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancam@n)