Ianya semakin hampir pasti

PEMAIN naturalisasi berdarah campuran Malaysia-Scotland, Stuart Wark hampir pasti menyarung jersi pasukan Terengganu FC (TFC) dalam misi memantapkan skuad itu musim ini.

Bekas pemain tengah PDRM musim lalu berusia 30 tahun itu sudah menjalani latihan bersama skuad Penyu sejak awal minggu ini dan berjaya memikat barisan jurulatih diketuai Nafuzi Zain.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu menyifatkan Wark sebagai pemain yang versatil dan mampu memberikan impak positif buat pasukan khususnya kepada pemain muda skuadnya.

Bagaimanapun Nafuzi enggan terbu*ru-bu*ru mengikat pemain berketinggian 1.81 meter itu, sebaliknya memerlukan sedikit masa lagi untuk menilai prestasi sebenarnya.

“Beberapa hari lagi kami akan buat keputusan mengenai pemain itu dan berkemungkinan besar dia (Wark) ada peluang bersama dengan TFC musim ini.

“Lagipun dia (Wark) pemain serba boleh dan mampu beraksi di semua posisi dan ia memberikan kelebihan serta bonus kepada pasukan,” ujar Nafuzi ketika ditemui selepas TFC membelasah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 10-0 dalam aksi pemanas badan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Selain menyarung jersi PDRM, pemain yang mula mencipta nama bersama kelab Lugar Boswell Thistle dalam Liga Scotland pernah bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada 2015, Sabah (2016), Felda United (2017) dan Pulau Pinang pada 2018.

Pemain berbadan tegap yang mampu beraksi di posisi pertahanan juga berpengalaman bermain di Amerika Syarikat dan Australia selain pernah berada dalam senarai 36 pemain pasukan kebangsaan musim lalu di bawah kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe.