Hutang lapok sudah langsai sepenuhnya -TRW

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menarik nafas lega apabila The Red Warriors (TRW) Kelantan FC membantu melangsaikan tunggakan hutang melibatkan tujuh bekas pemain yang pernah menabur bakti bersama badan induk berkenaan sebelum ini.

Tujuh pemain tersebut ialah Syafiq Syahmi Husin, Ahmad Fathi Irfan Azlan, Mohamad Azzrie Aripin, Muhammad Fikri Hakim Kama, Mohamad Fazliera Ezlan Mohd. Rosli, Ahmad Hamzalah Zulkiflee dan Muhammad Fahmi Izuddin Ab Rahman.

Ketua Bahagian Perundangan TRW Kelantan FC Shairuz Seffie berkata, pembayaran penuh tunggakan gaji kepada tujuh bekas pemain itu dibuat berkuatkuasa kelmarin.

“Kita akui KAFA sedang berdepan masalah kewangan ketika ini, jadi TRW Kelantan FC tampil dengan menghulurkan bayaran pendahuluan bagi meringankan beban badan berkenaan.

“Pada 21 Mei lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengadakan mesyuarat secara maya bersama dengan wakil KAFA dan pihak TRW Kelantan FC bagi menyelesaikan isu pembayaran kepada 11 pemain tempatan dan seorang tonggak import, Bektur Tulgat,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Shairuz memberitahu, tunggakan hutang melibatkan 12 pemain itu tidak pernah dinyatakan oleh KAFA menerusi Perjanjian Jual Beli Saham (SSA) dengan harga jualan sebanyak RM6.8 juta.

Katanya, bayaran berjumlah RM3 juta telah dilunaskan oleh pihak TRW Kelantan FC, sementara baki RM3.8 juta dibayar sebagai pendahuluan bagi penyelesaian hutang-hutang KAFA.

“Berdasarkan kepada mesyuarat itu, FAM telah merumuskan bahawa pembayaran tersebut adalah menjadi tanggungjawab badan berkenaan. Dalam perkara ini, KAFA telah memohon supaya pembayaran kepada 12 pemain ini dijadikan sebagai pendahuluan tambahan memandangkan badan induk itu sedang menghadapi kesukaran dari segi kewangan dan tidak mampu untuk membuat pembayaran yang diperlukan dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh FAM.

Sumber:UM

“TRW Kelantan FC telah bersetuju untuk membuat pembayaran tersebut sebagai pendahuluan kepada KAFA walaupun telah menyelesaikan jumlah penuh sebanyak RM6.8 juta sebagaimana yang mana dipersetujui bahawa penyelesaian pendahuluan tambahan tersebut pada atau sebelum November 2028,” ujarnya.