Hodak memperkuatkan barisan pemain bagi aksi Piala AFC

Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak mengakui perlu memperkuatkan barisan pemainnya untuk beraksi pada saingan Piala AFC musim depan.

Bagaimanapun pengendali dari Croatia itu mengakui segala-galanya terpulang kepada bajet yang diperuntukkan untuk pasukannya.

“Segala-galanya bergantung kepada bajet. Untuk perkara ini anda harus tanya CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) atau pihak pengurusan. Untuk saya pastinya berharap dapat memberi saingan sengit,” katanya.

Jelas Hodak, secara asasnya untuk memberi saingan yang sengit dan konsisten di Piala AFC, sesebuah pasukan yang bertanding itu perlu mempunyai dua set pasukan.

“Ketika ini kami belum mempunyai dua buah pasukan. Kami sudah menandatangani beberapa pemain baharu tetapi Piala AFC sangat menuntut kecergasan fizikal daripada setiap pemain.

“Jadi kami perlu mendapatkan beberapa pemain lagi untuk beraksi di saingan itu,” katanya.

KL City layak secara automatik ke Piala AFC selepas memenangi Piala Malaysia dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 di pentas final, Selasa lalu.

sumber : arena metro

Satu lagi pasukan yang layak beraksi di pentas Asia itu adalah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas muncul naib juara Liga Super di belakang JDT.