Hatrik Kipre Tchetche Bawa Kedah Terbang Ke Korea Selatan

Kedah melangkah penuh bergaya ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 selepas mudah menundukkan wakil Hong Kong, Woofoo Tai Po FC 5-1, sebentar tadi.

Kipre Tchetche jelas menjadi watak penting buat Kedah apabila berjaya mel3dak hatrik pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu.

Penyerang kelahiran Ivory Coast itu hanya memerlukan tiga minit permainan untuk membuka tirai jaringan susulan rembatan dari luar kawasan penalti yang tidak mampu dihalang penjaga gol Tai Po FC, Ho Yui.

Pemain sayap kiri, Muhammad Hadin Azman hampir menambah jaringan buat tuan rumah berselang empat minit kemudian, tetapi Ho Yui lebih bersedia untuk menafikan percubaan tersebut.

Pasukan pelawat yang dilihat tercari-cari rentak permainan mereka memiliki peluang terbaik pada minit ke-11, namun penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim tidak berdepan masalah untuk menepis percubaan daripada Chan Man Fai.

Pada minit ke-21, Kipre sekali lagi melonjakkan kegembiraan buat 19,803 orang penyokong Kedah yang hadir apabila beliau yang tidak dikawal menolak mudah bola hasil hantaran lintang yang dilakukan Rizal Ghazali.

Kelincahan Kipre terus menjadi duri dalam daging buat Tai Po FC setelah serangan balas pantas cuba dijelmakannya memaksa Sun Ming Him melakukan kekasaran yang menyaksikan pemain kelab Hong Kong itu dilayangkan kad merah pada minit ke-33.

Kelebihan dua jaringan nyata masih belum mencukupi buat skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu apabila Hadin Azman menambah dua jaringan pada minit ke-47 dan 66 bagi mengukuhkan kedudukan.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain, Tai Po FC tetap berusaha keras untuk mendapatkan jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-68 menerusi jaringan Chan Man Fai.

Ketika pengadil perlawanan, Saoud Ali Al-Adba semakin hampir untuk meniupkan wisel penamat, Kipre melengkapkan hatriknya untuk keputusan penuh 5-1 buat Kedah.

Kemenangan bergaya dicatatkan itu menyaksikan Kedah akan berkunjung ke Korea Selatan bagi menempah pertemuan menentang FC Seoul pada 28 Januari ini.