Harimau Malaya tidak menjanjikan corak permainan yang menarik, janji menang – Cheng Hoe

Harimau Malaya tidak menjanjikan corak permainan yang menarik dapat disajikan buat tatapan penyokong apabila berdepan misi ‘menang atau pulang’ menentang Indonesia di Stadium Nasional, Ahad ini.

Ini kerana pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui kemenangan adalah lebih penting daripada segalanya kerana hanya jalan itu yang tinggal buat anak buahnya sekiranya berhasrat meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala AFF 2020.

“Sudah tentu keputusan lagi penting daripada permainan bola sepak yang menarik. Ini perlawanan yang perlu kita menangi tak kiralah berapa pemain yang kita ada dan apa jua situasi yang kita hadapi ketika ini.

“Kalau kita tergesa-gesa ataupun bermain dalam tekanan, kita tidak akan boleh beraksi seperti mana yang kita mahukan. Apa yang penting pemain terus percaya pada kemampuan diri dan rakan sepasukan.

“Kita perlu terus bekerja lebih keras untuk memastikan kita dapat mencipta lebih banyak peluang bagi mendapatkan gol. Pertahanan juga perlu berhati-hati kerana mereka ada pemain yang sangat pantas dan perlu dihentikan daripada ser@ngan balas pantas.

“Kelancaran bola ketika meny3rang dan bertahan perlu lebih baik kerana selalunya kita dibolosi disebabkan kita ‘switch off’ dalam perlawanan,” kata Cheng Hoe.

Pada masa sama, Cheng Hoe juga menegaskan barisan pemain perlu bersedia dengan apa sahaja pendekatan yang akan diterapkan skuad ‘Garuda’ memandangkan mereka hanya perlu mengelak daripada tewas di tangan Malaysia untuk mara ke separuh akhir.

“Kita tahu Indonesia perlukan seri sahaja, jadi mungkin mereka akan main bertahan ataupun sebaliknya, kita tidak pasti. Apa yang pasti adalah kita perlu siapkan pasukan dengan persediaan terbaik bagi bertemu mereka.

“Kita perlu sentiasa menyesuaikan diri kerana kita tidak boleh jangkakan pasukan lawan. Mereka sangat menyerang dalam dua aksi pertama, jadi kita perlu jadi fleksibel dalam apa jua situasi.

sumber : BH

“Kita akan turun dengan misi mendapatkan gol pada aksi ini,” katanya.