Harimau Malaya boleh tarik nafas lega

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan boleh menarik nafas lega selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi lampu hijau untuk menjalankan latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) dengan pendekatan kuarantin dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu dipersetujui menerusi perbincangan bersama MSN dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas melihat MSN menjadi tempat yang sesuai untuk menjalankan kem latihan pusat.

“Selepas berbincang dengan Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin), saya lihat mereka boleh menggunakan premis MSN sebagai premis latihan mereka kerana premis MSN mempunyai fasiliti dan operasi secara kuarantin ini mudah untuk dilakukan.

“Justeru, saya beri cadangan kepada Presiden FAM untuk menggunakan langkah ini. Saya difahamkan Presiden FAM pun berbincang dengan Ketua Pengarah MSN (Ahmad Shapawi Ismail) dan secara prinsipnya, ini adalah pendekatan yang akan digunakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Venue latihan di MSN yang akan digunakan sebagai persiapan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu dijangka boleh menempatkan sehingga 30 ke 40 orang termasuk barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain.

Sebagai rekod, latihan pusat di bawah kendalian Tan Cheng Hoe sepatutnya bermula Sabtu lalu, namun terpaksa dibatalkan selepas Selangor tersenarai antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 13 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, Reezal memaklumkan persiapan atlet kebangsaan di bawah Program Podium tampak positif khususnya atlet yang sedang membuat persiapan untuk kejohanan antarabangsa dan aksi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

“Ia tetap diteruskan seperti biasa. Kita berjaya mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana kita lakukan latihan pusat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang agak tersendiri,” katanya.

Setakat ini seramai 632 atlet, jurulatih dan anggota dalam 28 jenis sukan terbabit di lima lokasi latihan berpusat iaitu Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Bukit Kiara, Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar Langkawi dan Velodrom Nilai.