Harapan besar untuk Perak FC

IPOH – Pemain Perak FC diharap mampu mengulangi persembahan seperti di Alor Setar, Sabtu lalu apabila bertemu Melaka United FC dalam saingan Liga Super, malam ini.

Harapan itu disuarakan oleh Pengurus Besar (GM), Azman Noh yang menyifatkan persembahan ketika bertemu Kedah Darul Aman (KDA) itu sebagai yang terbaik walaupun Perak tumpas 0-1 dalam perlawanan itu .

“Ia persembahan terbaik oleh pemain Perak dan mereka melakukan segalanya dengan baik cuma malangnya kami tidak berjaya jaringkan sebarang gol.

“Jika aksi ini mampu diulangi, saya yakin Perak boleh catat pencapaian memberansangkan di Melaka nanti,” katanya.

Azman atau Cikgu Man berkata Perak FC masih mampu menyelamatkan diri jika menang dalam baki dua perlawanan mereka ini dan selepas Melaka, perlawanan terakhir pasukan The Bos Gaurus ialah menentang Sabah di Ipoh 12 September nanti.

“Secara matematik peluang Perak masih ada jika menang baki dua perlawanan ini.

“Kita akan hadapi perlawanan demi perlawanan untuk mengelak tekanan kepada pasukan,” tambahnya.

Apapun Azman bersedia menerima apa juga keputusan serta hala tuju Perak FC bagi musim 2022 nanti.- K! ONLINE