Harap Tidak ‘bungkus’ Awal

PERTAHANAN kental Terengganu FC (TFC), Mohammad Arif Fadzilah Abu Bakar mengajak peminat bola sepak tanah air berdoa agar saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini tidak ‘bungkus’ awal ketika dunia termasuk Malaysia kini ‘berp3rang’ dengan wa bak pande mik C0vid-19.

Sebaliknya bekas pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun itu meletakkan harapan tinggi liga berprestij negara dapat kembali bersambung semula sebaik pandemik itu reda biarpun kini masih lagi samar.

Pada masa sama pemain kelahiran Kampung Kubu, Marang itu memuji barisan hadapan negara termasuk kakitangan kementerian kesihatan dan anggota keselamatan serta mereka yang terbabit yang bertungkus-lumus untuk memerangi dan menghentikan rantaian wabak membimbangkan seluruh masyarakat dunia itu.

“Sebagai pemain sudah tentu saya mahukan liga kembali bersambung biarpun pihak kementerian kesihatan belum lagi memberi ‘lampu hijau’ berhubung perkara itu.

“Tapi jika liga dibatalkan saya terpaksa akur walaupun hakikatnya kecewa kerana sukan itu sudah sebati dalam jiwa, selain ianya sebagai mata pencarian untuk membantu keluarga.

“Bagi memastikan rantaian wabak pandemik Covid-19 ini dapat diputuskan segera, kita perlu mengikuti arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain mengamalkan amalan kebersihan serta penjarakan sosial.

”Buat barisan hadapan negara, usah berputus asa sebaliknya terus berdoa dan berusaha gigih kerana andalah pejuang negara berperang dengan ‘musuh’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar,” ujar pemain yang pernah menyarung jersi T-Team dan FELDA United sebelum berhijrah bersama TFC musim ini.

Bercakap mengenai latihan, dia akui agak terjejas kerana berlatih seorang diri tanpa alatan selain hanya dipantau dari jauh oleh barisan jurulatih.

“Memang terjejas, tapi sebagai pemain profesional itu bukan alasan sebaliknya tetap meneruskan sesi latihan pagi dan petang selama dua jam sehari,” katanya.

Mengenai potongan gaji, bek kiri berusia 24 tahun itu akur, namun mengharapkan ada perbincangan dua hala antara pemain dan persatuan.

“Gaji setiap pemain tidak sama, jadi sebaiknya peratus potongan itu tidak sama iaitu mengikut individu,” ujar anak bongsu daripada sepuluh beradik itu yang menyatakan gajinya tidak tergendala bersama skuad Penyu itu.