Harap Sabar, Jangan Sampai Kena Tindakan

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kekal dengan keputusan melarang pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk mengadakan aktiviti bola sepak termasuk latihan sehingga mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan, keputusan itu selaras tindakan kerajaan yang memutuskan untuk melanjutkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini.

Katanya, MFL akan sentiasa mengikuti perkembangan dan saranan daripada MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum memberikan kebenaran kepada pemegang taruh Liga M untuk melaksanakan aktiviti bola sepak jika aksi domestik kembali bersambung musim ini.

Seperti semua sedia maklum, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan arahan PKPB sehingga 9 Jun ini. Justeru, MFL berharap pasukan akan terus mematuhi arahan ini sehingga kerajaan memaklumkan mengenai perkembangan terbaharu PKPB.

Selain itu, buat masa ini sukan bola sepak tidak termasuk di dalam antara sukan yang diluluskan penganjurannya. Sebarang aktiviti seperti latihan pasukan, perlawanan persahabatan dan pergerakan merentas negeri adalah tidak dibenarkan seperti sudah dikuatkuasakan oleh MKN sebelum ini.

Jika ada pasukan yang mengadakan sebarang aktiviti bola sepak tanpa kebenaran MKN, ia jelas melanggar peraturan di bawah Akta 342, katanya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani Hassan menegaskan MFL akan mengenakan tindakan keras kepada pasukan Liga M jika mereka didapati bersalah melanggar arahan seperti mengadakan sesi latihan dalam tempoh PKPB.

Selaras dengan surat pekeliling yang diedarkan kepada semua pemegang taruh Liga M, pasukan tidak dibenarkan mengadakan sebarang sesi latihan termasuk sesi latihan berskala kecil, sesi senaman di gymnasium atau sebagainya memandangkan ia adalah arahan daripada MKN, KKM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

MFL akan sentiasa mengikuti arahan dan prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak kerajaan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana pasukan yang didapati melanggar perintah itu daripada MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarah.

Diharap semua pasukan dapat bersabar terlebih dahulu untuk mengadakan sebarang program latihan di mana kita haruslah memenuhi tuntutan daripada pihak berkuasa dalam usaha memastikan semua pasukan mematuhi SOP seperti diarahkan oleh KKM, katanya.