Tidak Sepatutnya Dipersalahkan

Pemain hanya menuntut hak mereka, kata Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali, yang akan terus berunding dengan pemain yang terlibat bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji mereka dengan bekas majikan masing-masing.

PDRM merupakan pasukan yang akan memulakan Liga Super hujung bulan ini dengan pemotongan tiga mata kerana gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji pada tarikh akhir pertama 31 Januari lalu.

Ia berpunca daripada kegagalan pasukan itu berunding dengan bekas pemain import yang terlibat.

Bagi Safee, pemain tidak sepatutnya dipersalahkan kerana mereka hanya menuntut hak yang sepatutnya.

“Ia melalui perbincangan dan saya difahamkan bahawa ia adalah perbincangan minit-minit akhir.

“Yang saya persoalkan, mengapa ia dilakukan pada minit-minit terakhir, pada hari-hari terakhir?

“Mengapa tiada perbincangan yang lebih serius untuk menyelesaikan isu ini?

“Pemain hanya menuntut hak, mereka tidak menuntut sesuatu yang lebih daripada itu,” katanya.

Safee, dalam pada itu, memuji tindakan tegas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam melaksanakan pemotongan mata berkenaan.

“Saya melihatnya daripada sudut (pandangan) pemain.

“Kami hanya mahu bermain dalam liga yang lebih teratur dan lebih terjaga imejnya.

“Kalau isu gaji ini tidak dijaga, liga akan tercemar dan imejnya akan tercalar dengan isu seperti ini,” tambahnya.