Hanya Mempunyai Dua Pemain Import Bagi Menghadapi Baki Perlawanan

Skuad PDRM FA kini terpaksa meneruskan saingan Liga Malaysia yang kembali bersambung pada bulan Ogos ini tanpa khidmat peny3rang import, Antonio German apabila keluar daripada pasukan itu ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bulan lepas.

Ketiadaan German bermakna PDRM hanya mempunyai dua pemain import dari Turkmenistan iaitu Serdar Geldiyew dan Sohrat Soyunow bagi menghadapi baki 7 perlawanan Liga Super.

Geldiyew yang bermain di posisi tengah sebelum ini beraksi dengan kelab Altyn Asyr dalam liga utama Turkmenistan manakala Soyunov merupakan pemain pertahanan berpengalaman yang mempunyai 32 kaps dengan skuad kebangsaan.

Perkembangan itu disahkan oleh pengendali pasukan, Ishak Kunju melalui laporan dalam New Straits Times, sambil menjelaskan German bukan lagi pemainnya selepas didapati tidak mengikut semua program latihan.

“Saya boleh katakan dia bukan lagi dalam perancangan saya kerana tidak ikut program latihan kami yang telah diberikan kepada semua pemain ketika PKP,” kata Ishak.

Difahamkan German telah berangkat ke England pada bulan April atas alasan kematian saudaranya selepas hanya dua bulan bersama PDRM. Namun, beliau pergi tanpa kebenaran daripada pihak pengurusan yang mana ia telah melanggar salah satu syarat kontrak.

Pemain yang berusia 29 tahun itu turut meminta gaji dua hingga tiga bulan sebagai pampasan. PDRM juga kini masih berbincang dengan German dan ejennya.

German sebelum ini pernah terlibat dalam kontroversi berkaitan isu perkauman dengan pasukan Selangor pada musim lepas.

Malah, bekas pemain Queens Park Rangers (QPR) itu turut menjadi mangsa kritikan oleh penyokong gergasi merah kerana gagal mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan.

Dalam laporan BBC, German turut mendedahkan terdapat segelintir peminat Selangor pernah melontarkan kata-kata berbaur perkauman seperti beliau ‘terlalu gelap’ untuk beraksi bersama pasukan itu.