Hanya 4 pasukan Liga Malaysia

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendedahkan hanya empat pasukan dalam Liga Malaysia melengkapkan proses penswastaan kelab setakat ini.

Bilangan itu boleh dikatakan agak sedikit memandangkan tarikh akhir yang ditetapkan FAM adalah pada bulan September depan.

Stuart berkata 12 lagi pasukan sedang giat melengkapkan proses pemisahan status persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC), walaupun enam pasukan belum memulakan proses tersebut.

“Proses penswastaan ini dipantau AFC dan kemungkinan FA yang tidak dapat menukar status kepada FC untuk bersama liga tahun depan, akan menghadapi masalah yang besar,” katanya kepada Bernama.

“FAM memerlukan kerjasama semua pihak. Terdapat beberapa fasa dalam perubahan FA ke FC dan tahun ini merupakan fasa penubuhan FC secara rasmi.

“FAM mahu pastikan proses itu berjalan juga tahun ini dan selepas itu baru fasa peralihan pengurusan dan tanggungjawab.”

Namun, Stuart menganggap penularan wabak COVID-19 dan perubahan tampuk pentadbiran kerajaan negeri telah mempengaruhi proses penswastaan kelab.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak FAM tetap bersedia untuk membantu persatuan bolasepak dalam melengkapkan proses penswastaan.

“Ada kelewatan disebabkan COVID-19 dan disebabkan berlakunya perubahan pengurusan beberapa FA.

“Dengan kelewatan itu, FAM akan kerja lebih keras untuk memberi sokongan kepada mana-mana FA untuk proses ini dilaksanakan musim ini.”