Hantar Permohonan Rasmi

KUALA LUMPUR: Walaupun timbul gesaan daripada penyokong supaya saingan Liga Malaysia (Liga M) dibatalkan susulan COVID-19, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) optimis dapat mencari jalan bagi memastikan saingan itu dapat diteruskan.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), semalam untuk memberi penerangan berhubung perancangan mereka bagi kelangsungan bola sepak Malaysia selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

“Melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan nasihat, pandangan dan kelulusan untuk menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan dipatuhi bagi membolehkan FAM dan MFL menyambung serta meneruskan baki saingan Liga Malaysia 2020 yang ditangguhkan sejak 16 Mac 2020.

“FAM dan MFL sudah tentu mengutamakan aspek kesihatan negara mendahului bola sepak.

Namun sebagai badan induk bola sepak di Malaysia, kami perlu berusaha untuk mencari jalan supaya bola sepak dapat diteruskan dan sebab itulah kami mahu mendapatkan nasihat pakar daripada pihak yang bertanggungjawab.

“Apa juga arahan atau sekatan daripada KKM atau MKN, FAM terbuka sepenuhnya untuk menerimanya dan akan mematuhi segala arahan yang diberikan nanti walaupun ia membawa kepada pembatalan semua aktiviti bola sepak.

“Selain itu, kita juga sedang meneliti semua laporan dan dokumentasi membabitkan status perbincangan pasukan berhubung isu kewangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.