Gol Safawi Ke Anugerah Puskas ?

IMPIAN tonggak Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid untuk melihat gol lencongan cantiknya dicalonkan ke Anugerah Puskas, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) hampir menjadi kenyataan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia mempertimbangkannya.

Bagaimanapun, ia perlu melalui proses penilaian di peringkat dalaman oleh bahagian teknikal FAM sebelum mencalonkan gol lencongan terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) itu ke peringkat dunia.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, badan induk itu tiada sebarang masalah untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Fifa namun langkah itu haruslah dilakukan bersandarkan kepada merit.

Katanya, beliau dan seluruh keluarga FAM cukup berbangga dengan pencapaian bintang JDT apabila berjaya dinobatkan sebagai pemenang gol lencongan terbaik ACL terutama dengan mengenepikan bekas pemain hebat Brazil dan Chelsea, Oscar.

“Berita kemenangan Safawi menunjukkan bahawa sebenarnya pemain Malaysia juga mampu melakukan perkara sama yang dibuat oleh pemain luar negara.

“Tiada apa yang mustahil dalam bola sepak, bahkan Faiz Subri juga pernah membuktikan kepada dunia apabila muncul pemenang anugerah Puskas Fifa sebelum ini.

“Kita tahu bukan senang nak bertanding dalam anugerah Puskas itu kerana ia membabitkan ribuan gol-gol tercantik di seluruh dunia.

“Sekarang muncul Safawi pula dengan gol lencongan menarik yang berjaya memenangi di peringkat Asia.

“Mungkin kita (FAM) akan pertimbangkan untuk mencalonkan golnya ke Fifa dalam anugerah Puskas nanti.

Apapun, kita akan kaji dan lihat keistimewaan gol itu terlebih dulu dan jika ia menepati standard saya kira tak ada masalah untuk kita hantar golnya itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Arena Metro melaporkan Safawi bersedia sekiranya gol lencongan cantik yang dilakukan ketika menentang kelab dari China, Shandong Luneng itu di bawa ke anugerah lebih berprestij seperti anugerah Puskas Fifa.

Jelas Safawi, gol yang terhasil itu dilakukan cukup sukar dan bukan mudah untuk mana-mana pemain melepaskan rembatan lencong sambil diberi tekanan hingga menyebabkan dia hilang keseimbangan untuk melakukan sepakan itu.

Berdasarkan undian peminat di laman web AFC, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu meraih 50 peratus daripada undian keseluruhan untuk mengumpul sebanyak 159,502 undi sekali gus mengatasi empat pencabar lain termasuk bekas bintang Chelsea, Oscar yang hanya menerima 1 peratus.

Impian untuk melihat Safawi memenangi anugerah Puskas bukan sesuatu yang mustahil apabila sebelum ini pada 2017 menyaksikan Faiz Subri mengejutkan dunia dengan dinobatkan pemenang anugerah itu yang berlangsung di ibu pejabat Fifa di Zurich, Switzerland.

“Sama ada menang atau tidak di peringkat Fifa nanti itu soal kedua, yang penting adalah dengan kejayaan Safawi itu sekurang-kurangnya menaikkan semangat dan motivasi pemain muda lain untuk jadi sepertinya.

“Malah, ia juga baik buat Safawi dan saya harap dia akan terus meningkat bukan saja bersama kelab diwakili bahkan ketika menyarung jersi negara,” kata Yusoff yang juga pengurus skuad Harimau Malaya.