Giliran Amirulhadi Pula

Johor Darul Takzim (JDT) menunjukkan salah satu cara terbaik bagaimana untuk menghargai pemain yang banyak berjasa kepada pasukan.

Beberapa hari setelah mengumumkan bekas pemain tengah mereka yang juga kapten JDT II Shakir Shaari menyertai barisan kejurulatihan pasukan utama Harimau Selatan, giliran pemain tengah JDT II Amirulhadi Zainal pula diserap sebagai jurulatih.

Pemain berusia 33 tahun itu akan bertindak sebagai salah seorang penolong jurulatih kepada Rafael Gil Sanchez di JDT II sekaligus memastikan kesinambungan karier yang terjamin selepas membuat keputusan bersara awal.

AMIRUL HADI SERTAI BARISAN KEJURULATIHAN JDT IIBekas pemain tengah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Amirul…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Thursday, December 12, 2019

Sebagai rekod, Amirulhadi Zainal memulakan kariernya bersama Selangor di mana dia menyarung jersi pasukan itu selama enam musim dari 2006 – 2012 sebelum berhijrah ke Pahang pada 2013. Semusim kemudian dia menyertai JDT seterusnya JDT II pada 2018.

Sepanjang kariernya, pemain kelahiran Melaka ini telah menjulang trofi Liga Super sebanyak enam kali iaitu dua kali bersama Selangor (2009, 2010) dan empat kali bersama JDT (2014 – 2017); Piala FA masing-masing sekali bersama Selangor (2009) dan JDT (2017); Piala Malaysia pada 2017 serta Piala AFC.

Dia juga merupakan salah seorang pemain tonggak ketika Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF Suzuki buat kali pertama dalam sejarah setahun kemudian.