‘Ghaddar Kelate’ Permata Baharu Pantai Timur

Diberi peluang untuk beraksi buat kali pertama dalam saingan Liga Premier sudah tentu menjadi pengalaman manis buat pemain sayap muda Kelantan United, ‘Ghaddar Kelate’ atau nama sebenarnya Mohamad Fazrul Amir Md Zaman kerana ianya adalah penampilan pertamanya sebagai pemain profesional.

Fazrul Amir masuk menggantikan penyerang utama Gassama Alfussainey pada minit ke-75 ketika pasukannya menewaskan Negeri Sembilan 3-0 sebelum semua perlawanan dihentikan ekoran pandemik Covid-19.

Ghaddar menganggap biarpun cuma diberi peluang beraksi selama 15 minit, beliau berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan, malah pengendali Kelantan United, Zahasmi Ismail telah memberi pujian kepada pemain beruia 20 tahun itu.

Zahasmi yang ditemuramah selepas perlawanan menyatakan Fazrul Amir telah menunjukkan keyakinan tinggi, berani memegang bola malah tidak gentar biarpun melakukan kesilapan. Beliau percaya sekiranya pemain muda itu terus diberi peluang,, prestasinya akan lebih meningkat pada masa akan datang.

Fazrul pada musim lepas telah membantu skuad Piala Belia PKNS FC melangkah ke perlawanan akhir, namun pasukannya tewas kepada Terengganu FC (TFC) IV dengan agregat 1-0.

Final 2 Piala Belia 2019 | Sabtu, 28 September 2019TERENGGANU FC IV (0) lwn PKNS FC (0)Stadium Sultan Ismail…

Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Saturday, 28 September 2019

Dalam temubualnya bersama Stadium Astro, Fazrul peluang yang diberikan oleh ketua jurulatihnya itu adalah idaman buat mana-mana pemain muda apatah lagi menggantikan penyerang utama.

“Sedikit gemuruh namun sokongan daripada rakan sepasukan membolehkan saya menguasai tekanan dan berjanji akan baiki segala kekurangan yang ada,” katanya.

Namun beliau percaya untuk terus bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Kijang Hijau, beliau perlu berusaha lebih gigih kerana perlu bersaing dengan penyerang-penyerang lain termasuk penjaring terbanyak Liga M3 musim lepas, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi.

Sungguhpun aksi Liga Malaysia telah ditangguhkan hampir sebulan, beliau tetap bekerja keras untuk memastikan dirinya mampu untuk mengekalkan kecergasan dengan mengikuti program yang ditetapkan oleh pihak pasukan.

“Setiap hari saya akan luangkan masa lebih sejam (sama ada pagi atau petang) untuk berlatih mengikut program yang ditetapkan sambil memberi fokus kepada pergerakan kaki dan kekuatan otot.”

Kelantan United kini berada di tangga kedua Liga Premier di belakang TFC II selepas mencatat tiga kemenangan daripada empat perlawanan.

“Setakat ini kami hanya kehilangan mata kepada Kelantan FA sahaja namun kejayaan terakhir menumpaskan Negeri Sembilan 3-0 di gelanggang sendiri sebelum Liga Perdana ditangguhkan akibat Covid-19 membakar semangat untuk terus berusaha mengejar pendahulu liga Terengganu FC II,” ujarnya lagi.