Gelanggang rasmi skuad Selangor FC ditukar?

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC), Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan jadi gelanggang rasmi skuad gergasi merah dalam saingan Liga Malaysia bermula musim ini.

Menurut kenyataan dalam Selangor Kini, Stadium Shah Alam masih dalam proses baik pulih melibatkan penggantian bumbung dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM250 juta.

“Untuk musim ini kita sah beraksi di stadium tersebut paling kurang pun dua atau tiga tahun dan sudah membuat persiapan untuk tujuan itu,” katanya.

Malaysia Football League (MFL) sebelum ini mendapati Stadium Shah Alam tidak berada di tahap menyakinkan bermula pemeriksaan keselamatan pertama pada 10 Januari 2020 disusuli pemeriksaan kedua (21 Februari) dan ketiga (28 Februari).

Musim 2020, Selangor menggunakan Stadium UiTM Shah Alam sebagai gelanggang sementara dan menghuni kedudukan kelima dengan 17 mata dalam saingan Liga Super. Mereka juga sempat menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perlawanan menentang Perak.

Selain Selangor, satu lagi pasukan Liga Super yang turut akan menggunakan Stadium MBPJ sebagai gelanggang rasmi ialah Kelab Bola Sepak Petaling Jaya City (PJ City).

Sumber : Vocket FC