Giliran Felda United dan Melaka United Pula

Felda United dan Melaka United sudah berancang untuk mengadakan sesi latihan pada 22 Jun ini.

Ini selepas pasukan Liga Malaysia diberi kebenaran untuk mengadakan sesi latihan bermula 15 Jun, selepas tiga bulan tidak beraksi bersama akibat wabak COVID-19.

“Semua pemain dan pegawai akan menjalani swab test pada Rabu ini dan kita memilih 22 Jun kerana pertamanya kita hanya diberitahu mengenai kebenaran berlatih minggu lalu dan ini menyukarkan kita buat persiapan memulakan latihan,” kata jurulatih Felda, Nidzam Jamil kepada Sinar Harian.

“Persiapan kali ini sudah macam persiapan pra-musim dan kita tidak mahu terlalu lama kerana takut ada pemain yang cedera.

“Jadi 22 Jun sehingga tarikh jangkaan Liga-M bermula iaitu pada pertengahan Ogos atau awal September sudah mencukupi.”

Pada masa sama, Melaka United pula mengadakan ujian saringan COVID-19 pada hari Selasa sebelum sesi latihan pada 22 Jun.

“Ini bagi memastikan semua pemain bebas daripada pandemik COVID-19 sebelum dijangka kembali memulakan latihan.”