FAM Umum Senarai Pemain Skuad Malaysia B-19 Yang Terpilih

Persatuan bola sepak Malaysia hari ini telah mengumumkan senarai 35 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19) sebagai persiapan menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada 14 hingga 31 Oktober 2020.

Bagi pusingan akhir ini nanti, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014 iaitu Qatar, Tajikistan dan Yemen pada majlis undian yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada 18 Jun 2020.

Dalam senarai 35 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat kali ini, 14 pemain adalah dari skuad 23 pemain ketika saingan kelayakan di Phnom Penh, tahun lalu manakala baki 21 pemain merupakan pemain yang pernah dipanggil pada kem latihan pusat pemilihan tahun lalu dan juga muka-muka baharu untuk dinilai oleh Maloney dan barisan kejurulatihannya.

Antara muka baharu dari kelab luar negara yang dipanggil ialah Muhammad Adam Nadzmi Zamri (BISP Cruzeiro Football Academy) dan Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal (St. Loius Football Academy).

Sementara beberapa tonggak utama dalam saingan kelayakan tahun lalu tidak dipanggil untuk kem latihan pertama ini seperti penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Azrin Afiq Rusmini, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Luqman Hakim Shamsudin dan Ahmad Zikri Mohd Khalili, yang mana mereka dijangka menyertai pasukan pada kem latihan pusat berikutnya.

Mengikut jadual perlawanan yang telah dikeluarkan oleh AFC, Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan D bertemu Tajikistan pada Jumaat, 16 Oktober 2020 diikuti aksi kedua menentang Qatar pada Isnin, 19 Oktober 2020 dan seterusnya aksi terakhir kumpulan berdepan Yemen pada Khamis, 22 Oktober 2020. Ketiga-tiga perlawanan dijadual berlangsung di Stadium AGMK, Olmalik.

jadual afc u19-01-01

Dua pasukan teratas setiap kumpulan (8 pasukan) seterusnya akan layak ke suku akhir yang mana jika Malaysia berjaya muncul juara Kumpulan D, lawan adalah naib juara Kumpulan C (Arab Saudi, Australia, Vietnam atau Laos) dan jika Malaysia naib juara Kumpulan D, lawan adalah juara Kumpulan C (Arab Saudi, Australia, Vietnam atau Laos).

Seterusnya, empat pasukan yang berjaya melangkah ke separuh akhir akan secara automatik layak ke Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia. Namun jika Indonesia menjadi salah satu pasukan yang ke separuh akhir, maka satu lagi slot tambahan akan diberikan yang mana ia akan direbut oleh empat pasukan yang kalah pada suku akhir menerusi perlawanan playoff.

sumber: vocketfc

Pada edisi terdahulu iaitu Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia, Malaysia yang ketika itu dibimbing Bojan Hodak turut diundi dalam Kumpulan D, namun gagal melangkah ke suku akhir selepas tewas 2-1 kepada Arab Saudi, seri 2-2 dengan Tajikistan dan kalah 2-0 kepada China untuk menduduki tangga terakhir kumpulan.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia sejak Kejuaraan B-19 AFC ini dimulakan pada tahun 1959 (dengan nama Kejuaraan Remaja AFC) adalah dengan muncul naib juara sebanyak tiga kali pada 1959, 1960 dan 1968 serta meraih tempat ketiga sebanyak dua kali pada 1964 dan 1965.