FAM nyaris kena kelentong

KUALA LUMPUR: Hasrat Marcel Kalonda menyarung jersi Harimau Malaya ‘lebur’ selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan satu dokumen penting yang dikemukakan pemain dari Congo itu didapati tidak sahih.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya berhubung dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas pemain berkenaan menghantar dokumen yang diperlukan FAM bagi tujuan pengesahan dan penelitian kesahihannya.

Katanya, FAM turut menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Congo (FECOFOOT) dan wakil konsulat Congo di Malaysia serta berhubung dengan JPN bagi semakan dan pengesahan dokumen berkaitan.

“Susulan itu, semalam (Isnin), FAM sudah menerima surat maklum balas daripada JPN memaklumkan bahawa selepas semakan dan siasatan dibuat, satu daripada dokumen berkenaan didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.

“Selepas menghubungi Kalonda untuk memaklumkan hasil semakan dan siasatan JPN itu, FAM dengan ini membuat keputusan untuk menutup terus proses dan langkah berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, Stuart menegaskan badan induk itu cukup tegas dalam proses pengesahan status dan tidak memandang ringan syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi sebelum pakar teknikal melakukan penilaian terhadap tahap dan prestasi pemain berkenaan.

“Adalah menjadi tanggungjawab FAM selepas mendapat sesuatu maklumat untuk mengambil langkah susulan dengan melakukan siasatan, penelitian dan pengesahan sebelum membuat apa-apa kenyataan rasmi.

“Atas sebab itulah FAM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung Kalonda sebelum ini. FAM memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti memalsukan dokumen kewarganegaraan Malaysia dan kedaulatan negara.

“FAM ingin menasihatkan semua pihak terutama netizen dan peminat bola sepak negara supaya tidak terlalu ghairah atau cepat teruja apabila mendengar berita mengenai seseorang pemain itu mempunyai darah campuran Malaysia kerana ia perlu melalui proses pengesahan dokumentasi terlebih dahulu sebelum pemain itu boleh dipertimbangkan untuk menyarung jersi Harimau Malaya,” katanya.

sumber: BH

Terdahulu, pemain yang kini beraksi bersama ZESCO United dalam Liga Zambia itu dilihat boleh beraksi sebagai pemain warisan susulan dikatakan mempunyai hubungan dengan negara ini kerana datuknya berasal dari Sabah.