Jaami Qureshi Diuji

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu menilai terlebih dahulu kemampuan yang dimiliki oleh pemain kacukan negara, Jaami Qureshi sebelum menyenaraikan beliau dalam skuad B-19 tahun negara.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata langkah tersebut diambil kerana tiada jalan mudah bagi mana-mana pemain untuk tersenarai bagi mewakili negara.

Meskipun begitu, Stuart tidak menolak sebarang kemungkinan Jaami akan disenaraikan dalam pasukan yang akan beraksi dalam saingan AFC B-19 Tahun di Uzbekistan.

“Dia akan diberikan peluang untuk menunjukkan bakatnya bersama pasukan kebangsaan sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“Saya pasti ketua jurulatih, Brad Maloney, sudah menerima video mengenai prestasi Jaami baru-baru ini.

“Dan ia tepulang kepada Brad untuk menentukan kesediaan Jaami berdasarkan video itu atau mengadakan ujian di sini dalam masa terdekat,” katanya menurut laporan Stadium Astro.

Nama Jaami Qureshi tiada dalam senarai awal yang dikeluarkan oleh FAM bagi menyertai latihan pusat sebagai persediaan menghadapi saingan AFC B-19 Tahun pada Oktober nanti.

Ketika ini, FAM dikhabarkan sedang berbincang dengan kelab Jaami, Brighton and Hove Albion bagi memberi pelepasan kepada pemain itu menyertai pasukan negara untuk satu jangka masa yang lama.