Akan Mengkaji Terlebih Dahulu Sebelum Membuat Keputusan

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui berminat untuk mencalonkan gol yang dijaringkan Safawi Rasid untuk dipertandingkan dalam Anugerah Puskas anjuran FIFA.

Gol Safawi yang dijaringkan ketika JDT menentang kelab China, Shandong Luneng dalam AFC Champions League mendapat undian tertinggi dalam kategori gol yang paling digemari peminat Asia anjuran AFC.

“Kita akan pertimbangkan untuk mencalonkan golnya ke FIFA dalam anugerah Puskas nanti,” katanya kepada Arena Metro.

“Kita tahu bukan senang nak bertanding dalam anugerah Puskas itu kerana ia membabitkan ribuan gol-gol tercantik di seluruh dunia.

“Namun tiada apa yang mustahil dalam bola sepak, bahkan Faiz Subri juga pernah membuktikan kepada dunia apabila muncul pemenang anugerah Puskas FIFA sebelum ini.

“Berita Safawi menunjukkan bahawa sebenarnya pemain Malaysia juga mampu melakukan perkara sama yang dibuat oleh pemain luar negara.”

Bagaimanapun, FAM akan mengkaji terlebih dahulu gol Safawi sebelum membuat keputusan untuk menghantar pencalonan secara rasmi.

“Kita akan kaji dan lihat keistimewaan gol itu terlebih dulu dan jika ia menepati standard saya kira tak ada masalah untuk kita hantar golnya itu.

“Sama ada menang atau tidak itu soal kedua, yang penting kejayaan Safawi sekurang-kurangnya dapat menaikkan semangat dan motivasi pemain muda lain untuk jadi sepertinya.

“Malah, ia juga baik buat Safawi dan saya harap dia akan terus meningkat bukan sahaja bersama kelab diwakili bahkan ketika menyarung jersi negara.”