FAM batal Tiga Pertandingan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini secara rasmi mengumumkan pembatalan tiga pertandingan di bawah kelolaannya iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) musim ini akibat COVID-19.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selepas melakukan kajian, penelitian dan siri perbincangan dalaman, selain memperhalusi garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, keputusan itu juga dibuat berdasarkan Artikel 3 Peraturan Pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2020 serta Artikel 2 Peraturan Pertandingan MPFL 2020.

“Untuk FAM meneruskan penganjuran Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL bagi baki musim 2020 ini, keutamaan perlu diberikan terhadap aspek SOP bagi pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan iaitu dalam memastikan keselamatan dan kesihatan semua individu yang perlu hadir ke venue latihan dan perlawanan adalah terjamin.

“Tambahan pula terdapat sesetengah pasukan dalam pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia menggunakan padang terbuka sebagai venue mereka selaku tuan rumah, sekali gus menyebabkan kesukaran untuk mengawal pematuhan SOP penganjuran perlawanan.

“Begitu juga bagi pertandingan MPFL yang mana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor) dilarang oleh MKN, sekali gus bakal menyebabkan beberapa halangan terpaksa dihadapi dalam mendapatkan kelulusan bagi SOP pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan.

“Tanpa kepastian sama ada tempoh PKPB akan berakhir pada 9 Jun 2020 atau terus dilanjutkan, FAM terpaksa membuat keputusan sekarang dan tidak boleh menunggu atau menangguhkan lagi keputusan ini kerana ia hanya akan menjejaskan kedudukan pemegang taruh yang terbabit,” kata Stuart.