FAM bagaikan ‘bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru’ – Sadek Mustaffa

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu berdolak-dalik dengan bedah siasat yang akan dilakukan badan induk itu susulan kegagalan skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 minggu lalu.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa melihat situasi itu ibarat ‘bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru’ memandangkan punca skuad kebangsaan tersungkur pada kempen di Singapura itu sudah pun diketahui umum.

Justeru, Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam mengharapkan badan induk itu mendapat pengajaran daripada kebangkitan yang ditunjukkan negara serantau khususnya musuh tradisi negara, Indonesia.

“FAM perlu berhenti buat ‘dosa kering’ kepada peminat bolasepak negara apabila banyak berdolak- dalik. Pada pandangan saya, FAM tidak perlu pun buat bedah siasat atas apa yang berlaku di Singapura.

“Boleh terus buat laporan penuh (kegagalan di Piala AFF). Kita perlu belajar bagaimana Thailand dan Vietnam buat perancangan untuk jadi kuasa besar. Begitu juga Indonesia, selepas kegagalan mereka pada kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Jadi, FAM perlu keluar daripada kepompong sedia ada dan bebas tanpa sebarang campur tangan kerana kalau tidak, bola sepak negara tidak akan bergerak ke arah yang betul. Hapuskan pendekatan pilih kasih dan FAM perlu berani berdiri di atas kaki sendiri,” katanya.

FAM selaku badan induk bola sepak negara sebelum ini dikritik hebat selepas skuad bimbingan Tan Cheng Hoe dimalukan Indonesia 4-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan sekali gus terpaksa pulang awal daripada saingan ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ itu.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara gagal mencapai sasaran yang diletakkan FAM – sekalipun berdepan hakikat dengan cabaran persiapan yang singkat serta kekurangan pemain pada pertandingan itu.

Dalam masa sama, Sadek turut beranggapan bukan sahaja barisan kejurulatihan perlu mengambil tanggungjawab. malah barisan pengurusan juga perlu diheret sama atas prestasi kurang memberangsangkan skuad negara itu.

“Pengurusan pun gagal melakukan persiapan yang terbaik sebelum pertandingan. Kita gagal pada pusingan kelayakan dan dua aksi persahabatan, jadi kita lihat bahawa pemain yang mereka ada tidak berada dalam prestasi terbaik untuk mewakili negara.

sumber : BH

“Persoalannya mengapa skuad Bawah 23 tahun (B-23) tidak dijadikan alternatif kepada skuad kebangsaan? Kita pun ada pemain muda berbakat yang boleh diketengahkan berbanding muka sama yang membarisi skuad kebangsaan,” katanya.