Faktor Yang Menyebabkan JDT Menang Tipis

JOHOR Bahru: Walaupun aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak kurang meyakinkan selepas sekadar menang tipis 2-1 ke atas pendatangan baharu, UiTM FC dalam saingan Liga Super, pengendali skuad itu tetap lega tatkala tiga mata mampu diraih pada pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Beliau berkata, aksi dipamerkan pada perlawanan itu bukanlah yang terbaik berbanding ketika menang 2-1 ke atas Suwon Bluewings dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), baru-baru ini, sebaliknya berdepan dengan pasukan begitu mengidam untuk menewaskan JDT.

“UiTM FC adalah pasukan yang tidak ambil kisah jika tewas dan mereka beraksi dengan baik selepas beraksi dengan corak bertahan dan menghalang gerakan berbahaya JDT tatkala kami beraksi dengan baik pada 20 minit babak pertama.

“Selepas minit ke-20 hingga tamat babak pertama, setiap hantaran bola pemain saya lakukan tidak tepat dan kerap hilang bola. Itu yang menyebabkan rentak permainan tampak terjejas namun apabila babak kedua bersambung, barulah kami kembali kuasai permainan.

“Itulah bola sepak. Kami tidak boleh selesa kerana akan diberi tekanan oleh pasukan lawan yang mahukan kemenangan ke atas kami. Oleh itu kami kena lakukan sesuatu bagi pastikan corak permainan yang lebih konsisten mampu dipamerkan,” katanya.

Mora juga menegaskan beberapa isu perlu diperbaiki segera terutama corak permainan yang lebih pantas dan kemas selain ketepatan hantaran bola malah kesabaran di dalam padang juga perlu ada setiap pemain supaya tidak terlalu gopoh.

Tambahnya, pemain juga perlu mengenali corak permainan lawan dan tidak terlalu tergesa untuk melakukan ser@ngan kerana ia penting bagi memberi keselesaan buat pemain untuk menjana gerakan yang lebih efektif.

“Faktor kepenatan juga menjejaskan rentak permainan selepas mengharungi jadual perlawanan rapat. Malah gerak susun permainan yang lebih berkesan akan diperkemaskan lagi walaupun kami kerap melakukan latihan.

“Mungkin aksi ketika menentang UiTM FC percubaan gerak susun yang dilakukan kurang berkesan apabila pasukan lawan menjaringkan gol penyamaan dan jelas pemain agak kecewa. Kami akan pastikan perkara itu tidak berulang,” kata Mora.